Selasa, 3 Mei 2016

NOVEL KANAK-KANAK: TIRAI KASIH BAB TERAKHIR

BAB 13
Masing-masing terdiam. Debaran menanti saat-saat perpisahan dengan anak penyu kesayangan mereka yang sedang gagah berenang di dalam baldi. Di wajah mereka jelas kelihatan kesayuan yang terpaksa dihadapi pada pagi yang bersejarah bagi mereka kerana terpaksa menerima hakikat bahawa mereka akan kehilangan anak penyu yang di pelihara sejak beberapa hari yang lalu.
            Inilah keputusan yang terbaik yang mereka miliki demi kehidupan akan penyu itu. Anak penyu itu juga mempunyai kehidupannya yang tersendiri. Tiada siapa yang boleh menghalang kehidupan makhluk yang bernyawa.
            Bila kita menghalang kehidupan itu bermakna kita menyekat kebebasan yang diberikan oleh tuhan kepada makhluknya. Mereka sedar itu satu pergorbanan yang mesti ditunaikan terhadap anak penyu itu.
            Anak penyu juga perlu hidup aman di alam kurnia tuhan ini. Sukar untuk kita memahami cara kehidupannya yang sentiasa ingin bebas dari segala kekangan. Itulah kehidupan namanya.
            “Lokman! Apa kata emak kau bila kau berterus-terang semalam?” Daniel membuka kata-kata di celah kesunyian yang sengaja mereka ciptakan.
            Lokman tersengeh sahaja mendengar pertanyaan Daniel itu. Kemudian dia menarik nafas dalam-dalam. 
            “Daniel! Bila aku ingatkan peristiwa semalam aku sesekali berasa amat takut dan terkejut. Tapi bila berada di waktu ini aku berasa amat lucu pulak,” jawap Lokman selamba.
            “Kenapa pulak kau kata begitu?” soal lagi Daniel.
            “Kenapa tidaknya, belumpun aku sempat berterus-terang, ayah aku terlebih dulu bertanya itu dan tentang ini. Naik sebak dada aku menghadapi kedua orang tua aku itu sehinggalah sampai giliran aku berterus-terang pokok pangkalnya,” tambah Lokman lagi. Terpegun sedenak Daniel mendengar keterangan yang keluar dari bibir Lokman itu.
            “Habis apa kata mereka selepas kau berterus-terang?” tanya Daniel lebih lanjut.
            “Tiada apa yang mereka perkatakan. Mereka mendiamkan diri sahaja. Mungkin faham dengan situasi yang sedang melanda dalam diri aku ketika itu.
            Daniel tersenyum. Gembira mungkin. Dan mereka kembali diamkan diri. Sesekali memandang ke arah Sofia, Chong Lie dan Chong Mie yang sedang menatap anak penyu yang berada di dalam baldi di hadapan kedai Puan Maggie. Naik kasihan betul dia kepada ketiga-tiga rakan sebaya itu. Baru sahaja mengenal anak penyu. Tiba-tiba sahaja terpaksa berpisah pula.
            “Hei apa yang engkau orang berdua menungkan. Sejak tadi aku tengok,” tiba-tiba suara Aina memecah dari arah belakang. Ini membuatkan Daniel dan  Lokman terkejut.
            “Kau ni Aina, buat terkejut kita aja,” sampuk Lokman pantas.
            “Tidak ada apa-apa yang kami menungkan. Kau pulak ke mana tadi.” Unsur Daniel pantas. Dia menyedari dari tadi kelibat Aina tidak muncul-muncul. Susah juga dihatinya kalau-kalau Aina lupa akan peristiwa yang akan berlaku sebentar lagi. Dia tidak mahu Aina kempunan melihat anak penyu di saat-saat akhir di samping mereka.
            “Aku balik ke rumah sekejap tadi,” jawap Aina selamba.
            “Kau tau tak pukul berapa  Pegawai Jabatan Perikanan nak datang ke sini?” Soal Lokman tanpa membuang waktu.
            “Menurut kata emak Chong Mie rasa-rasanya lebih kurang setengah jam lagi, sampailah mereka tu,” jawap Aina tanpa teragak-agak.
            Daniel dan Lokman terdiam lagi. Ini bererti masa yang ada untuk mereka menatap anak penyu  sudah hampir ke penghujungnya. Bila-bila masa sahaja anak penyu akan meninggalkan mereka semua. Anak penyu yang membuatkan mereka bertambah rapat dan boleh berkerjasama dalam melakukan sesuatu kerja.
            “Kenapa kau tanya begitu Lokman?” soal pula Aina.
            “Takda apa-apa. Cuma …” berhenti begitu sahaja kata-kata Lokman. Ini membuatkan kedua rakannya kehairanan.
            “Cuma apa Lokman,” giliran Daniel pula bertanya.
            “Cuba kau lihat ke tiga-tiga adik kita itu. Apakah kau tak rasa apa-apa,” unsur Lokman lembut. Semua pandangan beralih arah ke sudut anak penyu yang diletakkan di dalam baldi yang dikelilingi oleh Sofia, Chong Lie dan Chong Mie.
            “Memang aku pun rasa kasihan kepada ke tiga-tiga adik kita itu. Maklumlah terpaksa berpisah dengan anak penyu itu seperti mana kita merasakan sekarang ini,” jawap Aina lemah. Dia boleh membayangkan perasaan yang sedang melanda ke tiga-tiga orang yang sedang melihat anak penyu ketika ini.
            “Tapi apa boleh kita buat. Demi untuk kebaikan anak penyu itu dan juga untuk kebaikan diri kita juga,” tambah Lokman tanpa di pinta. Dia berharap kedua rakannya itu fahami akan maksudnya itu.
            Di penjuru kanan kedai kelihatan Mak Piah, Pak Leman dan juga Puan Maggie sedang rancak berbual dan tanpa disedari tiba-tiba sahaja sebuah kereta berhenti di bahu jalan. Jelas kelihatan tulisan dan logo di pintu depan kereta itu adalah milik Jabatan Perikanan. Berhenti sahaja enjin kereta itu maka keluarlah dua pegawai yang berpakaian kemas berwarna biru yang terus menuju ke arah mereka.
            “Apakah ini rumah Puan Maggie Liu?” tanya salah seorang dari mereka dengan sopan dan pantas menyambut  huluran salam dari Pak Leman yang segera menghampiri mereka.
            “Ya,” jawap Puan Maggie sepatah dan menyambut salam kedua-dua pegawai itu.
            “Apakah benar makluman yang kami terima bahawa di sini ada seekor anak penyu untuk diserahkan kepada pihak kami?” kata pegawai itu lagi yang jelas murah dengan senyuman dan mudah mesra  walaupun pertama kali bertemu.
            “Memang betul. Saya yang telefon pejabat tuan semalam,” jawap Puan Maggie lagi.
            “Di mana anak penyu itu sekarang?” Soal pegawai yang seorang lagi. Dia tercari-cari di mana duduknya anak penyu tersebut.
            “Di dalam baldi ini,” jawap Daniel sambil membibit baidi yang mana terletaknya anak penyu itu dan rakan-rakannya yang lain mengikut dari belakang. Kemudian Daniel memberikan baldi itu kepada rakan  pegawai itu.
            “Wah! Nampak sihat benar anak penyu ini. Siapa yang jumpa anak penyu ini?” Tanya pegawai itu lagi setelah mencapai baldi yang dihulurkan oleh Daniel. Di pegang seketika anak penyu itu. Terkuak-kuak anak penyu bila di angkat naik ke udara.
            Daniel mendiamkan diri. Dia memalingkan wajahnya ke arah Lokman. Kemudian ke  arah Aina, Sofia dan kedua beradik kembar. Mereka memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh pegawai itu. Tidak sanggup melihat keadaan anak penyu berada di dalam keadaan itu walaupun tahu penyu boleh hidup di dua alam.
            “Sebenarnya kami berenam yang menjumpai anak penyu ini di tepi pantai beberapa hari yang lalu,” jawap Aina tanpa di duga untuk mewakili rakan-rakan yang lain yang jelas menampakkan kebisuan. Daniel tersenyum ke arah pegawai itu. Dia juga tidak menyangka Aina tiba-tiba berani begitu rupa.
            Kedua pegawai itu membalas senyuman itu. Ini membuatkan mereka berenam menjadi serba salah menghadapi keadaan itu. Manakala Puan Maggie, Mak Piah dan Pak Leman terdiam sambil menggeleng kepalanya yang jelas nampak rambutnya yang banyak putih dari hitamnya.
            Bagi pihak yang berkuasa terhadap anak penyu ini, abang berdua mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada adik-adik semua kerana dapat memberi kerjasama yang sewajarnya,” ucap pegawai itu yang jelas kelihatan terus tersenyum.
            Tidak terduga  oleh mereka akan kata-kata yang terbit dari bibir pegawai Jabatan Perikanan itu. Ini menyebabkan wajah-wajah resah yang dimiliki sebentar tadi berubah dan kembali ceria. Daniel dan Lokman berpelukan puas bersama Lokman. Aina dan Sofia tersenyum gembira. Begitu juga Chong Mie dan Chong Lie yang sesekali memandang ke arah emaknya.
            Puan Maggie membalas senyuman itu. Dia tahu anak-anaknya dapat melakukan yang terbaik buat anak penyu itu di samping bimbingan rakan-rakannya yang di anggap seperti abang sendiri.
            Mereka berasa bangga kerana dapat memberi secebis kasih kepada seekor anak penyu yang dapat mengeratkan lagi nilai sebuah persahabatan mereka yang terjalin selama ini.
            Mereka berpegangan tangan antara satu sama lain lalu menuju ke arah baldi yang di pegang oleh pegawai itu untuk menatap buat kali terakhir  anak penyu itu agar tirai kasih yang mereka semaikan buat anak penyu itu menjadi kenangan indah selama-lamanya.
           
TAMAT



Tiada ulasan:

Catat Ulasan