BAB 4
“ABANG DANIEL!”
“Apa dia Sofia ?” tegas Daniel bila tumpuannya
menonton televisyen di ganggu.
“Abang tidak risau anak penyu yang
kita jumpa tu,” ucap Sofia pantas tanpa melihat kiri kanan.
“Hih! Cakap tu perlahan sikit. Nanti
emak dan ayah yang berada di ruang dapur mendengarnya. Dapat susah pulak kita,”
marah Daniel tiba-tiba. Jejari telunjuk tangan kanannya pantas di letakkan
dibibirnya. Dia berharap agar Sofia faham akan maksudnya itu.
Sofia tertunduk. Dia telah membuat
satu kesalahan awal. Dia benar-benar kesal. Dia berjanji di dalam dirinya tidak
akan melakukan lagi kesalahan seperti tadi. Dia tidak faham mengapa beberapa
hari terakhir ini dia asyik melakukan kesalahan bila berhadapan dengan abangnya
itu. Sudah banyak kali dia berniat di dalam hati untuk tidak melakukan
kesalahan, tapi ternyata dia terus melakukannya.
“Sudahlah Sofia. Jangan ganggu abang
lagi. Abang nak menonton ni,” tegas
Daniel lagi.
“Saya bukan nak ganggu abang. Tapi
saya benar-benar risaukan anak penyu itu,” tambah Sofia lagi.
“Jangan banyak berfikir tentang anak
penyu itu. Anak penyu itu selamat dalam baldi di bangsal tu,” ucap Daniel
dengan penuh keyakinan diwajahnya.
“Itu saya tau abang. Tapi …” Sofia masih ragu-ragu.
“Tapi apa lagi Sofia ?”
“Tapi kita tidak boleh percaya
seratus peratus pada bangsal itu. Anak penyu itu tentu banyak musuh sedang
menanti.”
“Musuh!” termenung seketika Daniel
mendengar bicara adiknya itu.
“Betul jugak kata kau itu Sofia . Tapi abang rasa ianya
tentu selamat kerana abang telah tutup pintu bangsal itu rapat-rapat petang
tadi.” Jelas Daniel penuh yakin yang tiada musuh yang akan mengganggu anak
penyu itu.
“Mungkin betul kata abang tu,”
tambah Sofia untuk menutup kekusutan fikirannya.
“Sudahlah Sofia. Kita bincang esok tentang anak penyu itu bersama
rakan-rakan yang lain.”
“Baiklah abang,” sokong Sofia.
Mereka kembali menonton. Tidak
mereka sedari akan kehadiran kedua orang tuanya ke ruang tamu itu.
“Rancak benar ayah dengar kamu
berdua berbual tadi. Soal apa Daniel?” tiba-tiba Pak Din bersuara setelah
melabuhkan pungungnya di kerusi sebelah Daniel. Mak Piah pula berdiri di
belakang suaminya itu. Dia tidak mahu ketinggalan dalam perbualan antara suami
dan anak-anaknya itu.
“Apa ayah?” terkejut Daniel akan
teguran ayahnya itu.
“Berkhayal pulak dia ni. Asyik benar
menonton hingga tidak sedar ayah dan emak datang,” ucap ayahnya lagi. Mak Piah
hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat gelagak kedua anak kesayangannya
itu.
“Ayah tanya apa yang Daniel dan Sofia bualkan tadi?” ulang
Pak Din kembali. Dia mula syak yang anak-anaknya tentu menyembunyikan sesuatu
dari pengetahuannya. Anak-anaknya tidak begini selama ini.
“Tidak ada perkara menarik ayah.
Hanya berbual kosong,” dalih Daniel pantas. Kemudian pandangannya beralih ke
arah Sofia . Sofia tenang saja
mendengar kata-kata yang terbit dari bibir abangnya itu. Dia tidak mahu
melakukan kesilapan lagi. Dia takut dimarahi olah abang Daniel lagi.
“Betul Sofia?” soal Pak Din kepada Sofia .
“Betul ayah,” jawap Sofia yang sudah cukup
bersedia menghadapi segala unsur yang bakal ayah dan emaknya kemukakan.
“Petang tadi emak ada beritahu ayah
yang kamu berdua pergi ke pantai,” ulas
Pak Din perlahan.
“Betul ayah” Daniel mengaku.
“Buat apa pergi ke pantai?”
“Kami pergi bermain ayah,” ucap Sofia pantas.
“Main apa?” soal Pak Din lagi.
“Main kejar-kejar ayah,” jawap
Daniel pula.
“Main kejar-kejar. Bahaya tu,”
tambah Mak Piah pula.
Ini membuatkan Daniel dan Sofia
berpandangan antara satu sama lain.
“Tapi ayah, kami pergi bermain kejar-kejar di tempat yang
selamat . Bukan di tempat bahaya seperti di kawasan semak tepi pantai tu,”
balas Daniel lagi.
“Lagipun sekolah kita akan
mengadakan pesta sukan peringkat sekolah tidak lama lagi. Itulah sebabnya kami
bermain kejar-kejar untuk dijadikan latihan awal,” tambah Daniel bersemangat
untuk menyakinkan kedua orang tuanya itu.
“Bersemangat betul.”
“Sudah tentu, ayah. Lagipun Daniel
akan tamat tahun Enam tahun ni. Daniel mahu membuat jasa kepada sekolah
sebanyak mungkin sebelum meninggalkan sekolah rendah yang saya sayangi,” terang
Daniel lebih lancar.
“Tapi Daniel…” terhenti bicara
emaknya.
“Tapi apa lagi mak,” gesa Sofia pula.
“Tapi
pelajaran harus didahulukan. Barulah perkara lain,” jawap Mak Piah perlahan.
Daniel dan Sofia tersenyum sahaja mendengar kata-kata
emaknya itu.
“Kan tahun ini Daniel akan menghadapi
Peperiksaan UPSR. Satu peperiksaan penting kepada Daniel. Apa Daniel tidak bercita-cita untuk
memasuki sekolah berasrama penuh,” unsur emaknya lagi.
“Cita-cita itu memang ada emak.
Sebab itulah Daniel tumpukan perhatian kepada kegiatan sukan dan jugak
pelajaran. Kedua-duanya penting emak, ayah,” jawap Daniel lebih yakin.
“Nampaknya anak ayah sudah pandai
bercakap akhir-akhir ni,” potong ayahnya yang seketika memdiamkan diri.
“Yang sebenarnya Daniel dan kawan-kawan
di dalam Darjah Enam Arif telah menyusun satu jadual waktu yang baru untuk melancarkan lagi sistem
belajar kami setelah pulang dari sekolah,” ulas Daniel lebih bertenaga dan
berharap kedua ibubapanya yakin dengan apa yang telah diperkatakannya tadi. Dia
tidak mahu ada kesangsian dalam diri kedua orang tuanya itu.
Termenung Pak Din dan Mak Piah yang
berada di sisi anak-anak yang semakin membesar itu. Membesar bersama kerenah
masing-masing. Di pandang sekilas ke wajah Daniel. Kemudian berpaling ke arah Sofia pula. Jelas kelihatan ketenangan
yang ditunjukkan oleh kedua anaknya itu.
“Baiklah kalau begitu. Yang ayah
mahu kamu berdua terus rajin belajar. Kalau tidak apa guna ayah kerja kuat
sedangkan anak-anak ayah banyak membuat kerja yang tidak berfaedah.” balas Pak
Din lagi. Mak Piah hanya menjadi pemerhati sahaja. Dia menyerahkan bulat-bulat
apa-apa keputusan seterus kepada suaminya itu. Lagipun suaminya adalah ketua
keluarga. Berhak membuat apa-apa keputusan.
“Kami berjanji akan belajar
bersungguh-sungguh ayah, emak,” ucap Daniel dan Sofia serentak. Satu janji yang
sentiasa kuat di tanam di dalam diri masing-masing. Bukan hanya penyedap hati
kedua orangnya sahaja.
“Baguslah begitu. Jangan cakap saja
tau,” ucap Mak Piah yang akhirnya mengukir senyuman tanda berpuas hati akan
janji kedua anaknya itu.
“Terima kasih pada ayah dan emak
kerana mempercayai kami berdua.” Daniel lebih tenang berbicara. Dia tidak rasa
tertekan dan bimbang lagi. Dia akan
menunaikan janjinya setakat yang mampu dalam pelajaran demi masa depannya
dan kebahagiaan ibubapanya serta boleh dijadikan teladan kepada adiknya Sofia.
“Sudah sampai masanya untuk Daniel
dan Sofia masuk
tidur. Tutup peti televisyen itu dan masuk tidur. Kalau tidur lewat akan
menganggu fikiran ketika belajar di sekolah esok,” suruh emak Piah tegas.
Pantas Daniel dan Sofia bangun dari tempat duduk masing-masing dan
perlahan-lahan berjalan menuju ke bilik.
Pak Din memerhati langkah-langkah
anak-anaknya itu dengan tenang. Kemudian dia memalingkan wajahnya ke arah Mak
Piah bagaikan mencuba membaca akal
fikiran yang bermain di benak isterinya itu.
Akhirnya dia sendiri buntu dengan
apa yang bermain difikirannya itu. Satu dengusan keluar dari riak wajahnya. Mak
Piah memerhatikan sahaja akan telatah suaminya itu. Mungkin kepenatan kerana
seharian bekerja. Tanpa bersuara walau sepatah Mak Piah terus beredar ke ruang
dapur menghabiskan mana-mana kerja yang belum selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan