BAB 6
MALAM tiba lagi. Seperti
biasa setelah makan malam Chong Lie dan Chong Mie ke ruang tamu merihatkan diri
buat seketika sambil menonton rancangan Berita Perdana yang menjadi kegemaran
sekeluarga.
“Lie! Aku berasa sungguh gembira
hari ni,” unsur Chong Mie yang berada di sebelah. Ditangannya kemas memegang
senaskah akhbar yang di beli oleh ibunya pagi tadi.
“Gembira soal apa?” Soal Chong Lie.
“Gembira kerana kita dapat
menyiapkan para untuk meletakkan anak penyu kesayangan kita itu,” tambah Chong
Mie.
“Aku pun rasa begitu. Itupun kerana
berkat dari kerjasama yang diberikan oleh kita bersama rakan-rakan yang lain.
Kalau kita tiada kerjasama sudah tentu kerja buat para tinggal perancangan
sahaja,” kata Chong Lie pula.
Chong Mie mengangguk setuju akan
bicara saudara kembarnya itu. Dia sememangnya merasa benar akan kerjasama dan
keakraban antara dia dua beradik bersama rakan-rakan setianya itu. Sehari tidak
berjumpa pasti akan mengundang resah gelisah di hati dan tidak tentu duduk di
rumah.
Yang paling istimewanya bila bertemu rakan-rakan sepermainan di antara
mereka ini tiada rasa kedekut tenaga dan ilmu untuk membantu. Beritahu sahaja
apa yang bernama masaalah, sudah tentu akan diberikan kerjasama yang sewajarnya
untuk diselesaikan. Inilah dikatakan nikmat berkawan ramai. Perangai seseorang
pun boleh dinilai dengan siapa kita berkawan.
“Mie adakah kau rasa anak penyu kita
sudah selamat sekarang?” Chong Lie ingin menduga saudaranya itu.
“Tentu selamat,”jawap Chong Mie
tegas.
“Kenapa kau kata begitu,” duga Chong
Lie lagi. Wajahnya terus menatap tepat
ke wajah Chong Mie.
“Aku rasa selamat kerana kita buat Para
yang agak tinggi. Aku pasti anjing ataupun mana-mana binatang liar tidak mampu
untuk menangkap anak penyu itu.” Jawap lagi Chong Mie dengan lebih tegas.
“Kau benar-benar yakin Mie,” unsur
lagi Chong Lie.
“Ya, aku yakin para yang kita buat
itu mampu mencapai matlamat kita.”
Tatapan mereka beralih kembali ke
kaca televisyen. Dan masing-masing membawa emosi tersendiri.
“Chong Lie! Chong Mie!” tiba-tiba
suara emaknya memecah.
“Ada apa mak?” jawap Chong Lie dan Chong Mie
serentak.
“Boleh mak tanya sikit?”
“Emak nak tanya apa?” balas Chong
Lie perlahan.
Emaknya tersenyum mendengar soalan
anaknya itu.
“Soal apa mak?” ulang pula Chong
Mie.
Kedua-dua anak itu berpandangan
anatara satu sama lain. Jelas kelihatan di wajah mereka dengan seribu
pertanyaan di dalam hati.
Emaknya tersenyum lagi. Ini
menambahkan lagi keresahan yang meresap di dalam diri kedua anak itu.
“Emak nak tanya sikit aja,” bicara
Puan Maggie lembut lalu duduk berhampiran dengan Chong Mie. Chong Mie semakin
gelisah. Tak tentu duduknya.
“Kami sedia mendengarnya mak,” jawap Chong Mie
perlahan nadanya agar dia tidak di beri tekanan oleh emaknya nanti.
“Emak nak tanya bagaimana pelajaran
kamu berdua sekarang ini?” soal Puan Maggie tenang. Dan ditatapnya tepat ke
wajah ke dua anaknya itu.
“Baik mak, tiada masalah,” jawap
chong Lie pula. Kemudian pandangannya beralih ke arah Chong Mie. Chong Mie
mengangguk tanda setuju. Emaknya tersenyum lagi melihat telatah anak-anaknya
itu.
“Betul ke ni?” soal emaknya lagi
seaka-akan tidak percaya dengan jawapan yang diberikan oleh kedua-dua anaknya
itu.
“Betul mak,” serentak Chong Lie dan
Chong Mie menjawap disertakan anggukkan kepala beberapa kali. Puan Maggie
memandang agak lama ke arah wajah ke
dua-dua anaknya itu. Dia merasakan ada sesuatu yang tersembunyi di antara dua
anaknya itu. Tetapi dia tidak mahu memaksa ataupun menekan perasaan ke dua-dua
anaknya itu.
“Tapi emak sangsi dengan jawapan
kamu berdua?” tambah Puan Maggie lagi.
“Emak sangsi dengan kami,” jawap
Chong Lie yang benar-benar terkejut akan kenyataan emaknya itu. Dia memalingkan
wajahnya ke arah kembarnya. Mencari
sesuatu yang mungkin boleh dibantu oleh kembarnya itu.
“Pada pandangan emak, kamu berdua
tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran dengan sebaiknya.” ucap Puan Maggie
ringkas. Matanya tetap ke arah kembar kesayangannya itu. Mencari kepastian yang
paling jujur dari bibir-bibir manis anak-anaknya itu.
“Kenapa emak kata begitu?” pintas
Chong Mie mengambil giliran bersuara dan
menutup kegugupan yang ditunjukkan oleh Chong Lie.
“Sebab emak tengok kamu berdua
kebelakangan ini begitu asyik bermain. Bermain pula di pantai. Kalau dulu
anak-anak mak jarang ke pantai. Tapi sekarang anak-anak mak boleh dikatakan
setiap hari pergi ke sana .
Apa yang dimainkan di sana tu?” panjang lebar emaknya berceramah.
Termenung seketika Chong Lie dan Chong Mie. Terasa
jugak dihatinya dengan apa yang diperkatakan oleh emaknya itu. Perlahan-lahan
mereka menarik nafas mencari kekuatan diri.
“Dan sejak beberapa hari ini emak
jugak melihat kamu berdua asyik membuat
emak pening. Ada saja yang tidak kena di kedai emak ni,” tambah lagi emaknya.
Chong Lie dan Chong Mie tertunduk
kaku. Mereka benar-benar terasa akan kata-kata emaknya itu. Mereka sedar yang
mereka telah melakukan kesalahan kepada ahli keluarganya. Tapi kesalahan itu
terpaksa dilakukan oleh mereka demi kebaikkan anak penyu yang dijaga di dalam
bangsal di pantai.
Apakah harus mereka beritahu saja
rahsia yang di simpan begitu rapi itu kepada emaknya kali ini. Mereka menjadi
serba salah untuk mencari titik penyelesaian.
“Emak!” perlahan suara Chong Mie.
“Apa dia Chong Mie, beritahu saja
apa yang terpendam di hati. Emak sedia mendengarnya,” suruh emaknya tegas.
Sebelum menjawap suruhan emaknya
itu, Chong Mie memandang seketika ke wajah Chong Lie yang berada disebelahnya.
Chong Lie diamkan dia sahaja. Dia tidak mampu berkata-kata lagi. Dia
benar-benar tertekan.
“Emak, percayalah bahawa pelajaran kami
tidak akan terjejas walaupun kami boleh dikatakan setiap hari ke pantai
kebelakangan ini. Kami sebenarnya bertukar selera tempat belajar. Lagipun kalau
kita berada di samping kawan-kawan dapat jugak bertukar-tukar pendapat jika ada
sesuatu masalah yang menghantui kita. Lebih-lebih lagi jika kami berada di
samping Abang Daniel, Abang Lokman dan Kakak Aina. Mereka semua tidak berat
fikiran dan tenaga untuk membantu.” Chong Mie menerangkan segala isi hatinya
tanpa menghiraukan kemurungan yang ditunjukkan oleh Chong Lie.
Emaknya termenung seketika mendengar
penerangan anaknya itu. Manakala Chong Lie terasa sedikit tenang mendengar
kata-kata yang keluar dari bibir Chong Mie itu. Dia tidak menyangka langsung
yang Chong Mie sempat mencari dalih yang munasabah untuk menyakinkan emaknya
itu.
“Betul kata Chong Mie? Chong Lie!”
soal emaknya kepada Chong Lie pantas.
“Betul mak,”jawap Chong Lie lancar.
Chong Mie tersenyum. Puas.
“ Baiklah. Kali ini emak percaya
engkau orang berdua. Tapi satu permintaan emak pada engkau orang berdua”
“Apa dianya emak?” tanya Chong Mie
cepat.
“Mulai hari esok emak nak tengok
engkau orang beritahu dulu kepada emak ke mana hendak pergi. Tidak mahu terjadi
seperti dua tiga hari kebelakangan ini.”unsur emaknya perlahan tapi bernada tegas.
Chong Mie dan Chong Lie terdiam.
Tiada jawapan yang muncul dari kedua-dua saudara kembar itu.
Melihat keadaan itu emaknya terus
bangun lalu bergerak perlahan-lahan ke ruang dapur. Setelah kelibat emaknya
menghilang ke ruang mata maka wajah-wajah kelegaan muncul di sisi kedua kembar
itu. Tenang sedikit di dalam hati mereka. Mereka bernasib baik kali ini kerana
dapat melepasi satu lagi dugaan dari emaknya. Dan mereka tidak dapat bayangkan
bagaimana lagi yang harus ditempuhi pada hari-hari esok. Dan macam mana pula
keadaan yang dihadapi oleh teman-temannya kini.
Abang Lokman dengan kayu yang
diambilnya. Sofia
dan abang Daniel yang selalu dikenali sentiasa duduk di rumah tiba-tiba
bertukar selera untuk berkunjung ke pantai setiap hari. Dan apakah dia bersaudara
kembar ini mampu untuk terus memegang rahsia anak penyu itu selama
mungkin.Bahkan emaknya sentiasa mengungkit ke mana hilangnya baidi yang
berada di belakang rumah.
Pening kepala mereka bila memikirkan
soal yang berkaitan. Dan mereka sendiri tidak menyangka yang mereka terpaksa
membuat satu pengorbanan yang besar untuk menjaga anak penyu yang memerlukan
jagaan yang rapi.
“Chong Mie!” tiba-tiba suara emaknya
memecah lagi.
“Ada apa emak?” jawap Chong Mie.
“Ada ayah kau beritahu pukul berapa dia akan
balik dari bandar”
“Ada emak,” jawap Chong Mie.
“Pukul berapa ayah kata akan balik?”
“Pukul 9.30 malam emak,” jawap Chong
Mie lagi.
Chong Lie tersengih saja mendengar
bicara Chong Mie. Dia juga mendengar kata-kata ayahnya petang tadi.
“Kamu berdua sudah selesai kerja
sekolah,” soal emaknya lagi.
“Kami sudah siapkan petang tadi
emak. Bersama Sofia di rumahnya,”jawap Chong Lie.
Emaknya tersenyum puas.
“Baguslah begitu,” ucap emaknya
sambil mencapai satu naskah lagi ahkbar yang di beli oleh suaminya.
“Dan sekarang masuk tidur. Emak
tidak mahu anak-anak emak letih lesu bila berada di dalam kelas esok,” perintah
dari emaknya.
Chong Mie dan Chong Lie mengangguk
menurut arahan. Lagipun mereka tidak mahu bercakap panjang lagi dengan emaknya
kerana takut melarat pula. Dan mereka perlahan-lahan berundur menuju ke bilik
tidur sambil menggosok dada masing-masing tanda kelegaan kerana dapat bertahan
akan rahsia kehadiran anak penyu di sisi mereka yang tiba-tiba itu. Apakah mampu mereka bertahan untuk hari-hari
yang akan mendatang. Doa sentiasa bermain di dalam diri agar semuanya berjalan
lancar.
Malam ini terasa teramat indah bagi
mereka berdua. Mungkin juga menjadi milik bersama rakan-rakan yang lain-lain di
rumah masing-masing. Tidak sabar menanti hari esok. Esok yang mungkin
menjanjikan sesuatu yang lebih indah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan