Sabtu, 4 Ogos 2012

Mencari Jawapan


RESAH. Itulah yang sedang bermain di dalam dirinya kala ini. Entah sudah berapa lama dia terbaring kaku di atas katil. Matanya malam ini ternyata tidak mahu pejam walaupun sudah beberapa kali dicubanya. Namun semuanya sia-sia sahaja. Kebiasaannya dia tidak dapat tidur di waktu malam jika banyak tidur di siang hari. Tapi siang tadi dia tidak tidur walau sedikitpun. Yang pasti dia sentiasa sibuk dengan kerjanya yang tidak putus-putus datangnya.
            “Abang tak rasa penat ke. Ke hulu ke hilir tak tentu masa,” luah Umira, isterinya di kala dia menemani dirinya yang sedang makan tengahari.
            “Penat apanya Umi, kan abang cari rezeki,” balasnya perlahan.
            “Saya tahu abang cari rezeki. Tapi…”
            “Tapi apa Umi?” potongnya pantas. Ditatapnya wajah ayu isterinya yang dikahwini sejak sepuluh tahun yang lalu. Di wajah itulah dia diberikan semangat yang lebih bermakna dalam mengejar kehidupan yang lebih baik untuk ahli keluarganya.
            “Tapi akhir-akhir ini Umi melihat abang…” terhenti lagi kata-kata yang terbit dari bibir-bibir nipis kemerahan isterinya itu. Dia berasa amat hairan mengapa isterinya berubah begitu rupa.
            “Cakap saja apa yang Umi pendamkan selama ini terhadap abang. Abang sudi mendengar apa yang Umi rasa tidak berpuashati terhadap abang..”
            Isterinya terdiam. Di tenung tajam ke wajah isterinya. Isterinya terus terdiam. Kemudian menundukkan wajahnya menatap ke lantai.
            “Apa semuanya ini Umi. Abang tak fahamlah…” hatinya bertambah cemas dan bercampur geram di atas apa yang dilakukan oleh isterinya kali ini.
            “Abang…ak…hir…ak…hir ini sudah banyak berubah…”  luah isterinya apa yang tersekat di dalam dirinya itu walaupun dengan nada tergagap-gagap. Kemudian terus beredar ke ruang tamu yang sedang riuh dengan suara dua anaknya yang sedang bermain permainan baru dibelinya pagi tadi.
            Malam kian panjang. Tapi matanya tetap tidak mahu pejam. Apa lagi yang patut dilakukannya  lepas ini agar dia boleh terlena. Lebih-lebih lagi penat dibadannya masih menghimpit diri. Sebolehnya dia mahu berihat yang secukup mungkin agar di beri Tuhan kesegaran yang seratus-peratus untuk menjalankan perniagaannya esok.
            Bila di renung akan kata-kata tergantung isterinya tengahari tadi dia mula berasa tidak senang. Hatinya mula merasa cemas. Cemas yang tidak diketahui sebabnya. Apa yang telah dilakukan menyebabkan isterinya berkata begitu terhadapnya.
            Dia mula berfikir apa kesalahannya kali ini. Hendak dikatakan dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang suami dan sebagai seorang ayah kepada kedua anaknya itu, tidak mungkin sama sekali. Apa yang mereka perlukan, dia tunaikan dengan secepat mungkin yang boleh.
            Dia mengeluh panjang. Udara panas terasa keluar dari mulut dan hidungnya. Dibaliknya badan ke  arah isterinya yang sedang lena. Mungkin di kala ini sedang bermimpi indah.
            Di tenung lama ke wajah isterinya itu. Jelas dimatanya, Umira tetap cantik. Dia betul-betul bertuah dapat mengambil Umira sebagai isterinya. Seorang yang penyabar, lemah lembut, sopan-santun dan sempurna sifat kewanitaan yang dimahukan oleh  seorang lelaki.
            Tidak pernah isterinya membuat perangai seperti siang tadi. Entah apa yang telah merasuk dalam fikiran isterinya itu. Dia sedar memang akhir-akhir ini dia tidak ada masa yang panjang untuk bersama-sama isteri dan anak-anaknya. Dia betul-betul sibuk. Dia tidak dapat berfikir lagi apa kesalahan yang telah dilakukan kali ini.
            “Berubah…!!!” perkataan itu tiba-tiba keluar dari bibirnya. Berkerut wajahnya. Matanya terasa masuk ke dalam. Gelap dunia dirasakannya. Perkataan itulah yang terbit dari bibir isterinya.
            Dia bangun dari baringan. Dia terus menuju ke pintu kamar. Keluar menuju ke ruang tamu meninggalkan isterinya tidur keseorangan. Dia duduk seketika di sofa. Di belai rambutnya yang di potong pendek hari semalam dengan jejari tangan kanannya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihembuskan cepat-cepat agar keluar segala keresahan di dalam dirinya. Namun tiada apa-apa perubahan berlaku pada dirinya.
            Apa yang dimaksudkan isterinya itu.
            “Berubah…berubah…berubah…” di ulang perkataan itu berkali-kali. Dia mesti mencari maksud yang tersirat oleh isterinya itu.
            Dia bangun menuju ke  arah sebuah cermin yang berada di penjuru kanan ruang tamu. Ditatap batang tubuhnya yang jelas semakin kurus. Kelihatan urat-urat darah timbul di bahagian kedua-dua tangannya. Matanya semakin layu kemerahan yang seolah-olah menunjukkan lagi kepenatannya. Itu saja.
            Tapi apa yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Ini yang menjadi kehairanannya. Mungkin sebab inilah dia lemas berada di lautan keresahan. Keresahan yang teramat menyeksa dirinya.
            Dan sekali gus menyebabkan dia tidak dapat tidur malam ini. Kali ini dia mesti selesaikan apa yang menerjah akal fikirannya. Dia mesti selesaikan malam ini juga. Dia tidak mahu terseksa lagi. Mungkin isterinya sengaja membuat begitu kepada dirinya agar dapat merenung lebih jauh apa yang diperkatakannya itu.
Satu keluhan panjang dia lakukan. Mencari kekuatan diri. Di tatap seketika ke jarum jam di dinding. Jam menunjukan hampir pukul empat pagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak percaya dengan apa yang berlaku pada dirinya kali ini.
Tidak pernah berlaku dalam hidupnya begini. Biasanya di waktu ini dia lena diulit mimpi panjang dan indah. Dia berdiam diri seketika.  Dipejamkan matanya rapat-rapat. Tiba-tiba dia terasa seolah-olah diberi tenaga dalaman untuk mencari jawapan yang terbaik dengan apa yang terjadi pada dirinya kali ini.
“ Mungkin …” terhenti begitu sahaja suara hatinya. Dibelai lagi rambutnya perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian jejari tangan kanannya diraut ke wajahnya yang jelas menampakkan kepenatan. Badannya pula mula terasa kepanasan sedikit demi sedikit. Matanya pula terasa kepedihan yang sesekali mengeluarkan air mata yang tidak dipinta hadirnya. Dia menarik nafas panjang lagi.
“Abang! Untuk Umi dan anak-anak kita semuanya cukup,” itulah kata-kata terakhir dari isterinya sebelum masuk ke kamar tidur awal malam tadi. Dia pula ketika itu tidak dapat membalas kata-kata isterinya itu. Mulutnya seolah dikunci rapi.
Isterinya terus bermain teka-teki. Dia terpana bila isterinya berkata-kata. Kata-kata yang keluar dibibir isterinya menunjukkan kejujurannya yang telus. Tidak pernah isterinya melawan atau meninggi suara dengannya.
Itulah senjata yang paling hebat milik isterinya itu. Dia tewas bila isterinya bersuara. Bersuara lemah lembut tapi penuh tertib. Teratur tutur katanya. Memukau hati mendengarnya.
“Apakah semua ini…” bertambah kencang degup jantungnya. Dia merasakan dia sudah semakin dekat dengan pencarian yang tiba-tiba menghantui dirinya itu. Pencarian yang sengaja diciptanya. Pencarian yang membawa keresahan diri di sepanjang malam yang kian lama meninggalkannya.
“Abah! Kata Cikgu Sofia,  kita orang Islam wajib solat lima waktu. Kalau kita tidak melakukannya, kita dapat dosa dan dimasukkan ke dalam api neraka. Kita di seksa oleh Allah, tuhan kita. Abah tak takut ke?”entah mengapa dia terlupa kata-kata anak perempuannya yang berumur enam tahun petang tadi.
Dia terus duduk bertafakur. Menadah ke dua tangannya. Di pejam mata rapat-rapat. Mencari sesuatu yang hilang dari dirinya.
“Yaa..Allah, ya tuhanku, ku pohon keampunan darimu. Rupa-rupanya aku telah banyak melakukan sesuatu yang di luar kesedaran. Ini disebabkan terlalu mengejar kebahagiaan dunia. Aku terlupa siapa aku disampingmu. Kau berilah hidayahMu kepadaku agar kembali menjadi insan terbaik disisimu.” sayu dirasai cetusan bicara hatinya. Azan Subuh kedengaran sayu-sayu. Lekas-lekas dia bangun menuju ke bilik air. Dia tidak mahu leka lagi dari kewajipannya. Kewajipan yang menjamin kebahagiaan di dunia kekal nanti.
terbitan : Akhbar Mingguan Warta Perdana/Julai 2012





Khamis, 26 April 2012

PUISI : DI PANTAI CINTA INI


PUISI : DI PANTAI CINTA INI

Di pantai cinta ini
Ada rindu
Menggamit rasa
Ada resah
Mencucuk hati
Di unjam tua

Di pantai cinta ini
Ada pelukan kasih
Bersemadi gagah
Di alun  ombak tenang
Ada cemburu
Merayap halus
Di bibir dedaun nyiur

Di pantai cinta ini
 Kasih
Rindu
Resah
Cemburu
Bersatu membina istana
Impian sebuah harapan

Hasil pena
Mas Azierin A. S
Jambu Bongkok, Terengganu.

Khamis, 12 April 2012

TIG MELEGAKAN KESEDIHAN




1.      Daripada Anas bin Malik, apabila Nabi di timpa sesuatu bencana atau malapetaka maka baginda membaca “Yaahayyuyanqayyum. Birahmatika Astaghist” maksudnya “Wahai Allah yang maha hidup lagi berdiri dengan sendiri dengan rahmatMu aku memohon pertolongan”

2.      Menangislah sepuas-puasnya dan lepaskan kesedihan. Sebab itu di dalam Islam, jika ada masalah kita di suruh berkongsi dengan orang yang boleh dipercayai. Luahkan apa yang terbuku di hati dengan tangisan kerana ia mampu meringankan beban. Sebab itulah orang perempuan lebih panjang umurnya dan jarang sakit jantung kerana air matanya. Dari air mata itu dilepaskan tekanan.

3.      Nabi juga ucapkan “Lailahaillallah” untuk meredakan kesedihan.

4.      Solat hajat agar Allah redakan kesedihan.

5.      Selalu Nabi nasihatkan kepada orang yang sedang bersedih bertakwa kepada Allah dan bersabar.

KELEBIHAN SELAWAT



Menurut Sheikh Abd. Al- Qadir Al- Jailani Al-Hasani Rahimahullah di dalam kitabnya Al- Safinah al- Qadiriyyah- beliau meriwayatkan daripada Ibn Farhun berkata “ Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w mempunyai 42 kelebihan,” hal ini tertulis di dalam kitabnya Hadaiq al- Anwar:

1.      Melaksanakan perintah Allah s.w.t.

2.      Bersama dengan selawat Allah s.w.t kepada Rasulullah.

3.      Bersama dengan selawat para malaikat.

4.      Mendapat ganjaran 10 kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5.      Dikurniakan oleh Allah s.w.t 10 darjat atas tiap-tiap 1 selawat.

6.      Dituliskan oleh malaikat 10 kebaikan atas setiap selawat.

7.      Dihapuskan oleh Allah 10 kejahatan atas setiap selawat.

8.      Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9.      Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10.  Mendapat keampunan daripada Allah serta akan di tutup segala keaiban.

11.  Allah akan menutupi segala dukacita.

12.  Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13.  Mendapat darjat al-Sidq.

14.  Ditunaikan segala hajat.

15.  Selamat sejahtera pada hari kiamat.

16.  Allah s.w.t dan para malaikat akan berselawat ke atas orang yang berselawat.

17.  Mendapat khabar gembira daripada allah s.w.t dengan balasan syurga.

18.  Selamat sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19.  Rasulullah akan menjawap secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20.  Mudah mengingati semua perkara-perkara yang lupa.

21.  Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa hari itu.

22.  Tidak akan merasai fakir.

23.  Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24.  Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w kepada yang berselawat.

25.  Selawat akan menjemput pengucapnya ke jalan syurga.

26.  Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak di sebut Allah. dan rasulnya atau daripada majlis-majlis lagha (malalaikan).

27.  Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila di sebut Alhamdulilahi rabbi ailamin (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan selawat ke atas Nabi Muhammad.

28.  Selamat melintas titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29.  Terpelihara dari sifat kasar dan gelojoh.

30.  Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

31.  Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

32.  Mendapat keberkatan daripada Allah.

33.  Mendapat kesempurnaaan imam.

34.  Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

35.  Mendapat hidayah daripada Allah.

36.  Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w secara langsung.

37.  Teguh pendirian dengan kebenaran.

38.  Berselawat bererti kita menunaikan sebahagian daripada hak-hak Rasulullah ke atas diri kita. Di samping itu ia dianggap mengsyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutus Rasulullah kepada kita.

39.  Berselawat juga bererti melengkapkan pergertian berdoa dan memohon kepada Allah ke atas Rasullullah dan kepada diri sendiri.

40.  Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengiktiraf segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

41.  Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap induvidu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w didalam jiwanya.

42.  Dikurniakan oleh Allah maqam seorang syeikh dan murabi.



WAKTU DAN KETIKA DITUNTUT BERSELAWAT MENURUT HADIS

1.      SESUDAH AZAN

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., “Jika kalian mendengar muazin maka ucapkan seperti apa yang ia ucapkan kemudian berselawatlah untukku. Kerana sesungguhnya barang siapa yang berselawat untukku sekali, Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mohonkanlah kepada Allah wasilah untukku, sesungguhnya ia adalah suatu tempat di syurga. Ia tidak layak kecuali untuk seorang hamba dari hamba-hamba Allah. Aku berharap bahawa hamba itu adalah aku. Barang siapa memintakan wasilah untukku maka ia berhak menerima syafaatku.”- HR Muslim

2.      SESUDAH MEMBACA TASYAHUD AKHIR

Jika salah seorang dari kamu bertasyahud dalam solat maka hendaklah ia membaca, “Allahumma salli’alaa Muhammad wa’alaa aali Muhammad kamaa soallaita wabaarakta watarhham-ta ‘alaa Ibrahim wa aali Ibrahim innaka hamuidun majid.”- HR al- Baihagi.

3.      DIPERMULAAN DOA DAN AKHIRNYA

Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. , “ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi, tidak naik barang sedikit juga daripadanya sehingga engkau bersalawat atas nabi mu “ HR At- Tirmizi.

4.      DIDALAM SOLAT JENAZAH

Sebagaimana Imam Syafie didalam al-Musnad : Sunah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan solat jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu membaca Fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan setelah selawat bertakbir lagi (yang ketiga) …” 

5.      DIANTARA TAKBIR-TAKBIR SOLAT HARI RAYA.

6.      DIAKHIR DOA QUNUT DAN DIHARI JUMAAT

Sabda Rasulullah s.a.w , “Perbanyakkanlah oleh mu membaca selawat dimalam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dipintakan kepada ku “ –HR Tabrani. Diriwayatkan oleh an-Nasai , bahawasanya disukai kita mengakhiri qunut dengan selawat dengan lafaz ,” dan semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Muhammad. “

7.      KETIKA BERZIARAH KE KUBUR NABI MUHAMMAD S.A.W

Sebagaimana yang disebut didalam hadis Rasulullah s.a.w , “Tiada salah seorang dari kamu yang mengucapkan salam kepada ku , yakni disisi kuburku melainkan Allah mengembalikan kepada ku rohku untuk menjawab salamnya itu.”-HR Abu Daud.

8.      KETIKA DI DALAM KHUTBAH

9.      KETIKA MEMULAKAN SUATU PEKERJAAN YANG BAIK ATAU URUSAN PENTING DAN BERHARGA.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,”Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulakan dengan hamdalah dan selawat maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang keberkatannya.”-HR Abu Hurairah.

10.  KETIKA ORANG MENYEBUT DAN MENDENGAR NAMA RASULULLAH DI SEBUT.

Orang yang kedekut itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku disisinya.”-HR Ahmad.

11.  DI KALA KESUSAHAN DAN TERTIMPA UJIAN

12.  SETIAP KALI MENGADAKAN MAJLIS.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Tiadalah duduk suatu kaum di dalam suatu majlis, sedang mereka tidak menyebut ( mengingat) Allah dan tidak berselawat untuk nabi melainkan ia akan menderita kekurangan maka jika Allah menghendaki nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka.-HR At-Tirmizi dan Abu Daud.






17 JENIS DOSA BESAR



Menurut Abu Talib Al-Makki, seorang ahli sufi dan pakar hadis mengkategorikan dosa besar pada 17 jenis. Dosa-dosa besar yang dimaksudkan adalah:-

1.      4 jenis di hati iaitu:-

a.       Syirik

b.      Melakukan maksiat tanpa henti

c.       Berputus-asa

d.      Tidak takut dengan seksa Allah

2.      4 jenis pada lisan:-

a.       Menjadi saksi palsu

b.      Menuduh wanita baik berzina

c.       Melakukan sumpah palsu

d.      Mengamalkan sihir

3.      3 jenis di perut iaitu:-

a.       Minum arak

b.      Memakan harta anak yatim

c.       Memakan riba

4.      2 jenis di kemaluan iaitu:-

a.       Melakukan zina

b.      Melakukan homoseksual

5.      2 jenis dosa di tangan iaitu:-

a.       Membunuh

b.      Mencuri

6.      Satu jenis di kaki iaitu lari dalam peperangan.

7.      Satu jenis dosa seluruh badan iaitu derhaka kepada orang tua.

Rujukan : Majalah Al- Islam