Sabtu, 30 Ogos 2014

Cerpen : Gelora Di Hati






“INGAT pesan abang tu…jangan sesekali terlajak kata. Ini rahsia kita berdua.” masih terngiang-ngiang di dalam kotak fikirannya akan pesanan terakhir arwah suaminya. Kerana pesanan inilah hatinya kian di rundum keresahan yang berpanjangan.      
           Keluarganya yang suatu dulu  mendamaikan, kini bertukar menjadi satu kehidupan yang penuh warna-warna kehitaman. Dia tidak mampu mengubahnya. Dia terperangkap dengan janji-janji yang dia sendiri menyetujui bersama suaminya dua puluh lima tahun yang lalu.
            Dia terhimpit seorang diri. Dia lemas. Hatinya meronta-ronta ingin melepaskan diri dari beban yang sedang melandanya kini. Dia mahu hidup dengan tenang sebelum menemui suaminya di dunia baru jika diizinkan tuhan.
            “Jangan sesekali kedua-dua anak kita tahu soal ni. Jika tidak keluarga kita akan musnah,” tegas Pak Jalal yang sedang bermain dengan sebatang pen yang berada di tangan kanannya itu.
            “Tapi bang…” tersekat begitu sahaja kata-kata Mak Esah. Dia menelan liur melihat jelingan mata suaminya itu. Dia faham benar dengan sifat suaminya itu.
            “Tapi apanya lagi Esah. Takkan perkara tu susah sangat hendak dirahsiakan dari anak-anak kita tu.” tegas lagi Pak Jalal. Di pandang sekilas ke wajah isterinya itu. Kemudian dia mengggelengkan kepalanya. Dia tahu isterinya seorang yang lembut hati. Isterinya selalu mengalah bila berdepan dengannya. Dengan Saiful lebih lagi. Dia lebih memanjakan anak bujangnya itu.
            “Habis sampai bila bang?” ungkit Mak Esah tiba-tiba. Entah angin  apa yang tiba-tiba masuk ke dalam dirinya.  Kali ini dia akan berjuang akan haknya. Haknya yang selama ini dikuburkan di dalam jiwanya yang kian parah bila memikirkan soal kehidupan keluarganya ini.
            “Sampai bila-bila…ingat tu.” Tegas Pak Jalal lagi.
            Mak Esah mengeluh panjang. Panas rasa hatinya. Dadanya bergelombang tiba-tiba. Darahnya terasa naik ke kepala lalu turun ke wajahnya. Dia gagal lagi. Apa nak jadi dengan dirinya ini. Mencari haknya pun dia gagal. Apa lagi nak pegang semua janji yang telah dipersetujui  bersama suaminya itu. Mampukah dia bertahan.
            “Mak! Mak!” halus-halus satu suara di hujung telinganya. Suara yang tidak asing baginya. Sepantas itu juga ingatannya terhadap perbualan bersama arwah suaminya sebulan yang lalu terpadam di fikirannya.
            “Mak menung apa lagi ni. Dari tadi Nisa tengok mak duduk sorang-sorang kat sini. Mak fikirkan apa lagi?” Nisa melabuhkan pinggulnya di sebelah emaknya itu. Sesekali rambutnya diterbangkan oleh angin laut yang bertiup kencang. Anak daranya sudah besar. Cantik. Dia merasakan sudah masanya dia mengahwini anaknya ini. Membentuk keluarganya sendiri. Dia pun sudah lama kepingin membelai dan merasai keseronokkan melihat telatah cucu-cucu seperti mana dia melihat jiran-jiran di sekelilingnya.
            “Ada apa lagi mak?” sekali lagi Nisa bertanya. Dia tidak mahu dirinya tidak di ambil endah oleh emak kesayangannya itu. Baginya itulah satu-satunya  harta  berharga yang hanya tinggal untuknya setelah kematian ayah. Kematian ayah yang tiba-tiba dan penuh kejutan.
            “Takda apa-apa Nisa. Saja-saja mak duduk kat sini. Nak ambil ambil angin. Kat dalam rumah tu panas sangat.” Mak Esah cuba berdalih. Dia tidak mahu anaknya tahu apa yang sedang difikirkan. Dia tidak mahu menyusahkan anaknya ini. Sudah banyak Nisa berkorban untuknya.
            “Nisa tak percayalah…Nisa kenal siapa mak Nisa ni.” Nisa cuba memainkan peranannya. Biasanya maknya akan tewas bila berhadapan dengan pujuk-rayunya selama ini. Di pandang tepat ke wajah emaknya  dengan penuh harapan.
            Mak Esah tersenyum tawar. Dia tahu siapa Nisa. Seorang anak yang berani dalam kelembutan dirinya. Sebab itulah Nisa menjadi kegilaan anak-anak muda di kampung. Dia tahu semuanya. Namun Nisa seorang anak yang pandai jaga diri. Dia seorang yang payah membuatkan hati orang terguris. Semua orang yang cuba rapat dengannya akan merasa senang.
            “Betul cakap mak…mak takda apa yang hendak difikirkan.” Mak Esah berdalih lagi. Dia semaunya hendak menutup sepenuhnya apa yang terpendam di dalam hatinya. Di dalam dirinya kini hanya satu, memikirkan ke mana menghilangnya Saiful. Saiful yang menghilang kerana terasa hati dengan kata-kata dan tindakan arwah suaminya itu.
            “Betul ni?” tegas lagi Nisa. Dia sebenarnya masih ragu-ragu akan jawapan yang diberikan oleh maknya itu. Jawapannya yang tidak sama yang ditunjukkan oleh riak wajah mak. Dia tahu siapa maknya.
            “Nisa!”
            “Ya mak…”
            “Boleh  tolong mak tak?” Mak Esah cuba mengalihkan topik perbualannya. Dia tidak mahu terus diasak oleh Nisa.
            “Apa yang mak mahu Nisa tolong?”
            “Boleh tolong mak ambil segelas air masak. Terasa haus pulak.”
            “Baiklah mak…mak duduk dulu. Biar Nisa ke dapur dulu.”
Mak Esah memerhati langkah demi langkah Nisa yang menuju ke  arah ruang dapur yang berada di sisi kanan tempat duduknya kini. Di bawah sepohon pokok Mempelam yang rendang. Duduk di atas Para yang di buat oleh arwah suaminya itu. Banyak perkara yang sempat mereka berdua berbincang di sini. Tempat yang menjadi saksi segala luahan hati.
            “Ayah memang tidak adil mak…memang tidak adil” berulang-ulang kali Saiful mengucapkannuya. Dia mengurut-ngurut dada tuanya. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali api kemarahan Saiful.
            “Apa yang tidak adilnya…?” Mak Esah cuba mencari apa yang sebenarnya terbuku di hati Saiful. Sifat panas baran anaknya terserlah. Sifat inilah yang membuatkan hati tuanya banyak terguris. Tidak terkira banyaknya dia berdoa agar segala sifat buruk anaknya ini hilang,
Namun dia tidak akan berputus asa. Dia tahu tuhan hendak menduga dirinya agar sentiasa mengingati diriNya.
            “Mak selalu menyokong ayah tu..” tuduh Saiful tiba-tiba.
            “Sokong apanya lagi Saiful? Mak tak tau apa-apa?” Kecil hatinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mencari kekuatan diri. Kalau ikutkan hatinya, sekarang ini juga dia meninggalkan Saiful. Namun dia harus tahu apa yang Saiful mahu.
            “ Ke sengaja mak buat tak tau? Mustahil ayah rahsiakan dari pengetahuan mak?” tuduh lagi Saiful. Saiful mengerak-gerakkan kepalanya ke kiri kanan seolah-olah orang yang sakit sendi.
            “Betul…mak tak tahu. Cuba kamu cakap apa yang sebenarnya? Mak Esah mula hilang sabar. Dia tidak mahu terus menerus di tuduh sebegitu rupa. Selama ini dia tidak pernah merahsiakan sesuatu daripada anaknya itu. Melainkan janji bersama arwah suaminya itu.
            Saiful merenung wajah emaknya itu. Mencari sesuatu kekuatan dalam dirinya. Apakah patut dia menyatakan semuanya. Apakah mak akan mendengar dan menerima kata katanya nanti. Tiba-tiba itu yang datang dalam minda. Namun begitu haknya juga harus diutamakan. Dia tidak mahu tertanya-tanya. Mengapa dan mengapa itu harus terjadi dalam hidupnya?
            Selama ini dia bertungkus lumus membantu ayah memajukan syarikat perumahan milik keluarganya itu. Dia korbankan segala kehidupan remajanya kerana hendak membantu ayah. Dia tidak hidup seperti rakan-rakan sebayanya yang hidup dengan dunia muda.
            Inikah balasan yang dia dapat dari segala pergorbanannya. Betul-betul tidak adil. Tidak adil. Saifil menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah nekad sekarang. Dia tidak boleh tangguh lagi…hatinya betul-betul mendesak.
            “Betul mak tak tau?” Saiful cuba menguji Mak Esah lagi. Dia takut maknya hanya berpura-pura ingin tau tadi. Di renung tajam ke anak mata emaknya itu. Mencari secebis kejujuran dari hati emaknya itu.
            “Eeehhh budak ni…sekali nak cakap sekali macam ni pulak. Kenapa ni Saiful.”  Mak Esah mula meradang. Dia tidak mahu dipermainkan. Dipermainkan perasaan oleh anaknya sendiri. Dia mula berdiri untuk meninggalkan Saiful dan mula melangkah langkah perlahan-lahan. Hatinya betul-betul terguris dengan tindakan Saiful yang seolah-olah tidak mempercayainya.
            “ Nantilah dulu mak…duduk balik. Sebenarnya Saiful serba salah hendak beritahu pada mak.” Luah Saiful akhirnya. Dia memandang tepat lagi ke wajah emaknya itu. Tangannya perlahan-lahan memegang tangan emaknya itu lalu di genggam erat. Dia betul-betul mengharap agar maknya tidak merajuk dan melarikan diri darinya disebabkan oleh kesangsiannya sebentar tadi.
            Dia sebenarnya takut dengan dirinya sendiri. Dia tidak mahu ada hati yang terguris. Lebih-lebih hati emaknya ini. Seorang emak yang setia mendengar segala keluhan hati anak-anaknya. Dia tidak mampu kehilangan emak. Emak segala-gala baginya.
            Tapi akhir-akhir ini dia sedikit ragu-ragu dengan mak. Mak seolah-olah hendak melarikan diri dari berhadapan dengan dirinya. Dia tidak tau apa salahnya. Apakah emak berasa marah kepadanya kerana selalu bersifat kasar bersama ayahnya selama ini. Tapi itu hanyalah di dalam syarikat. Di luar bidang kerja dia kembali kepada yang asal. Menjadi Saiful yang manja di sisi kedua ibu bapanya.
            “Serba salah apanya Saiful? Ada mak makan orang selama ini?? Mak Esah mula berseloroh. Dia mula duduk semula di sisi Saiful. Memandang sekilas ke wajah anaknya yang masih kebingungan.
            “Saiful takut mak marah?” ucap Saiful lagi. Di genggam lebih kemas kedua tangan emaknya itu. Kemudian di gosok-gosok perlahan-lahan. Tabiat itulah yang selalu dia lakukan setiap kali dia berhadapan apa-apa masalah peribadinya. Emaknya pasti faham dengan dirinya itu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia mencari lebih kekuatan dalam dirinya.
            “Marah apanya? Dengar tak lagi macam mana nak marah. Cuba cakap apa bendanya?” desak Mak Esah. Dia tidak mahu melayan kerenah Saiful dengan lebih panjang lagi.
            “Mak….”
            “Cakap aja Saiful…” jawap Mak Esah kekejutan dengan panggilan itu. Sepantas itulah wajah Saiful kian kabur di penglihatannya. Hatinya mula resah. Ke mana pula Saiful hendak pergi sepantas itu. Dia belum lagi memberitahu apa yang terpendam di dalam hatinya itu.
            “Hei mak ni…melayan ke mana ni..tiba-tiba aja sebut nama Abang Saiful. Ini Nisalah berdiri depan mak.” Nisa tesenyum nipis. Dia sedar maknya jauh mengelamun. Sebab itulah kesihatannya kurang memuaskan sejak-sejak akhir ini.
            Mak Esah memegang tangan Nisa. Dia sedar akan kesilapannya tadi. Sepatutnya dia tidak menunjukkan keresahan dalam dirinya. Dia tidak mahu menyusahkan Nisa lagi. Lebih-lebih lagi Nisa kini terpaksa mengambil alih tugas di syarikat setelah Saiful menghilang begitu saja.
            Dia tidak boleh bayangkan macam mana keadaan Nisa mengambil alih jawatan yang sengaja ditinggalkan oleh Saiful itu. Nisa tiada apa-apa pengalaman tentang perniagaan. Dia juga menyesal kerana tidak mengikut permintaan arwah suaminya tiga tahun lalu supaya Nisa bekerja di syarikat keluarganya itu.
            Dia tidak terfikir sejauh ini rupanya arwah suaminya berfikir. Kini barulah dia sedar kesilapannya itu. Dia jadi kelam-kabut bila memikirkan tentang Nisa yang terpaksa berhemtam pulas mengetuai syarikat itu.
            Namun begitu dia sedikit bersyukur kerana di syarikat itu ada ramai pekerja yang cemerlang dan boleh diharapkan. Dan dia juga bersyukur kerana Nisa cepat belajar dan mendapat kerja sama yang sepenuhnya dari pekerja di syarikat itu.
            Di renung sekali ke wajah Nisa yang betul-betul berada di hadapannya itu. Dia perlahan-lahan memegang kedua-dua tangan Nisa dengan lembut lalu digenggamnya. Hatinya berasa sayu dengan tiba-tiba.
            “Kenapa lagi ni mak?” Nisa cuba mengalihkan perhatian. Dia mahu emaknya  sedar ke  alam nyata. Dia tidak mahu emaknya terus memikirkan apa-apa yang tidak berfaedah. Dia mahu melihat  emak ceria seperti mana ketika arwah ayahnya masih ada.
            “Emak…” terhenti begitu saja kata-kata yang terucap dibibir tuanya itu. Dia kembali sebak. Hatinya terus bergelora. Dia betul-betul cemas dengan dirinya sendiri. Dia tidak mampu lagi bertahan. Sejujurnya dia mahu Saiful ada disisinya ketika ini juga.
 Dia mahu mencurahkan segala-galanya. Dia tidak mampu lagi menutup segala janji-janjinya kepada arwah suaminya itu. Dia rela menghadapi segala kemungkinannya nanti. Biarpun keputusannya nanti akan mengecewakan dirinya sendiri.
“Sudah-sudahlah mak…jangan difikirkan perkara yang buruk-buruk. Tiada gunanya.” Nisa menyedari akan situasi emaknya itu. Dia amat kasihan kepada emaknya itu. Tapi apa yang mampu dia lakukan. Dia sudah buat segala iktiar. Yang menjadi pokok pangkalnya adalah Abang Saiful. Dia saja  yang mampun menghilangkan segala apa yang terjadi terhadap emaknya itu.
“Nisa…emak rindukan abang Saiful kamu…” curah Mak Esah tiba-tiba. Di wajahnya berkerut –kerut menahan gelora rindunya. Dia betul-betul rindukan anak lelakinya itu. Di pandang sekilas ke wajah Nisa yang masih berdiri di depannya itu. Dia mengeluh panjang. Dia kesal dengan dirinya kerana terpaksa meluahkan segala gelodak dihatinya kepada Nisa.
“Sabarlah mak…Nisa pasti abang akan balik…percayalah.” Lucut sahaja perkataan itu di bibir Nisa tiba-tiba kelihatan kereta milik  Saiful meluncur masuk ke halaman depan rumah. Enjin  dihentikan. Sepantas itu juga Saiful keluar dari perut keretanya itu lalu menuju ke  arah Mak Esah dan Nisa.
“Assalamaulaikum!” perlahan Saiful memberi salam. Dia menundukkan wajahnya ke tanah. Dia tidak mampu menatap wajah tua emaknya itu. Dia sedar dirinya banyak buat salah terhadap emaknya itu. Emaknya tidak bersalah sebenarnya. Emaknya hanya menjadi mangsa keadaan.
Tanpa menjawap salam....Mak  Esah pantas memeluk sekujur tubuh milik anak lelaki kesayangannya itu. Dia mahu melepaskan segala rindunya selama ini. Dipeluk erat-erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Dia tidak mahu kehilangan lagi. Dia tidak sanggup berhadapan situasi begini lagi.
Saiful membiarkan apa yang dilakukan oleh emaknya itu. Tidak akan dibantah apa yang emaknya hendak lakukan. Bahkan dia juga memeluk erat emaknya itu.
Nisa tersenyum melihat kedua-dua insan yang berada disampingnya itu. Dia pasti selepas ini akan berakhir segala gelodak jiwa keluarganya itu.
“Saiful! Nisa!” Mak Esah tiba-tiba bersuara tegas. Dilonggarkan pelukan.
“Ya mak…” serentak Saiful dan Nisa menjawap. Kedua-duanya berpandangan antara satu sama lain.
“Mak harap kamu berdua terima dengan hati yang terbuka. Lebih-lebih lagi kamu…Saiful! Kan kamu mahu tahu kenapa arwah ayah buat keputusan di syarikat tu.” Di pandang sekilas ke wajah Saiful penuh harapan.
“Kalau itu yang emak nak beritahu, Saiful terima aja.” Balas saiful perlahan. Dia tidak mahu bercanggah pendapat dengan emaknya lagi.
“Lama sudah emak pendam selama ini. Hati mak bergelora kerana ini. Mak tak mampu mengharungi segala gelora itu. Mak pasrah sebenarnya. Saiful! Sebenarnya syarikat yang ayah majukan itu bukan milik kita.” Luah Mak Esah tanpa ragu-ragu.
“Habis…siapa yang punya? Terkejut Saiful mendengar pendedahan emaknya itu.
“Milik satu keluarga yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dua puluh tahun yang lalu. Mereka telah amanahkan ayah kamu memajukan syarikat itu.”
“Siapa mereka tu mak?” Nisa tiba-tiba mencelah.
Mak Esah tersenyum. Ini membuatkan Saiful dan Nisa tertanya-tanya.
“Nisa! Itulah ibubapa kamu yang sebenarnya.”

Terkejut Nisa mendengarnya. Matanya tiba-tiba terasa gelap-gelita. Saiful yang berada disebelahnya terdiam kaku.

Terbitan: Majalah Seri Dewi @Keluarga
              Mac 2014