“INGAT pesan abang tu…jangan sesekali terlajak kata. Ini rahsia kita berdua.” masih terngiang-ngiang di dalam kotak fikirannya akan pesanan terakhir arwah suaminya. Kerana pesanan inilah hatinya kian di rundum keresahan yang berpanjangan.
Keluarganya yang suatu dulu mendamaikan, kini bertukar menjadi satu
kehidupan yang penuh warna-warna kehitaman. Dia tidak mampu mengubahnya. Dia
terperangkap dengan janji-janji yang dia sendiri menyetujui bersama suaminya
dua puluh lima tahun yang lalu.
Dia terhimpit seorang diri. Dia lemas. Hatinya
meronta-ronta ingin melepaskan diri dari beban yang sedang melandanya kini. Dia
mahu hidup dengan tenang sebelum menemui suaminya di dunia baru jika diizinkan
tuhan.
“Jangan sesekali kedua-dua anak kita tahu soal ni. Jika
tidak keluarga kita akan musnah,” tegas Pak Jalal yang sedang bermain dengan
sebatang pen yang berada di tangan kanannya itu.
“Tapi bang…” tersekat begitu sahaja kata-kata Mak Esah.
Dia menelan liur melihat jelingan mata suaminya itu. Dia faham benar dengan
sifat suaminya itu.
“Tapi apanya lagi Esah. Takkan perkara tu susah sangat
hendak dirahsiakan dari anak-anak kita tu.” tegas lagi Pak Jalal. Di pandang
sekilas ke wajah isterinya itu. Kemudian dia mengggelengkan kepalanya. Dia tahu
isterinya seorang yang lembut hati. Isterinya selalu mengalah bila berdepan
dengannya. Dengan Saiful lebih lagi. Dia lebih memanjakan anak bujangnya itu.
“Habis sampai bila bang?” ungkit Mak Esah tiba-tiba.
Entah angin apa yang tiba-tiba masuk ke dalam
dirinya. Kali ini dia akan berjuang akan
haknya. Haknya yang selama ini dikuburkan di dalam jiwanya yang kian parah bila
memikirkan soal kehidupan keluarganya ini.
“Sampai bila-bila…ingat tu.” Tegas Pak Jalal lagi.
Mak Esah mengeluh panjang. Panas rasa hatinya. Dadanya
bergelombang tiba-tiba. Darahnya terasa naik ke kepala lalu turun ke wajahnya.
Dia gagal lagi. Apa nak jadi dengan dirinya ini. Mencari haknya pun dia gagal.
Apa lagi nak pegang semua janji yang telah dipersetujui bersama suaminya itu. Mampukah dia bertahan.
“Mak! Mak!” halus-halus satu suara di hujung telinganya.
Suara yang tidak asing baginya. Sepantas itu juga ingatannya terhadap perbualan
bersama arwah suaminya sebulan yang lalu terpadam di fikirannya.
“Mak menung apa lagi ni. Dari tadi Nisa tengok mak duduk
sorang-sorang kat sini. Mak fikirkan apa lagi?” Nisa melabuhkan pinggulnya di
sebelah emaknya itu. Sesekali rambutnya diterbangkan oleh angin laut yang
bertiup kencang. Anak daranya sudah besar. Cantik. Dia merasakan sudah masanya
dia mengahwini anaknya ini. Membentuk keluarganya sendiri. Dia pun sudah lama
kepingin membelai dan merasai keseronokkan melihat telatah cucu-cucu seperti
mana dia melihat jiran-jiran di sekelilingnya.
“Ada apa lagi mak?” sekali lagi Nisa bertanya. Dia tidak
mahu dirinya tidak di ambil endah oleh emak kesayangannya itu. Baginya itulah
satu-satunya harta berharga yang hanya tinggal untuknya setelah
kematian ayah. Kematian ayah yang tiba-tiba dan penuh kejutan.
“Takda apa-apa Nisa. Saja-saja mak duduk kat sini. Nak
ambil ambil angin. Kat dalam rumah tu panas sangat.” Mak Esah cuba berdalih.
Dia tidak mahu anaknya tahu apa yang sedang difikirkan. Dia tidak mahu
menyusahkan anaknya ini. Sudah banyak Nisa berkorban untuknya.
“Nisa tak percayalah…Nisa kenal siapa mak Nisa ni.” Nisa
cuba memainkan peranannya. Biasanya maknya akan tewas bila berhadapan dengan
pujuk-rayunya selama ini. Di pandang tepat ke wajah emaknya dengan penuh harapan.
Mak Esah tersenyum tawar. Dia tahu siapa Nisa. Seorang
anak yang berani dalam kelembutan dirinya. Sebab itulah Nisa menjadi kegilaan
anak-anak muda di kampung. Dia tahu semuanya. Namun Nisa seorang anak yang
pandai jaga diri. Dia seorang yang payah membuatkan hati orang terguris. Semua
orang yang cuba rapat dengannya akan merasa senang.
“Betul cakap mak…mak takda apa yang hendak difikirkan.”
Mak Esah berdalih lagi. Dia semaunya hendak menutup sepenuhnya apa yang terpendam
di dalam hatinya. Di dalam dirinya kini hanya satu, memikirkan ke mana
menghilangnya Saiful. Saiful yang menghilang kerana terasa hati dengan
kata-kata dan tindakan arwah suaminya itu.
“Betul ni?” tegas lagi Nisa. Dia sebenarnya masih
ragu-ragu akan jawapan yang diberikan oleh maknya itu. Jawapannya yang tidak
sama yang ditunjukkan oleh riak wajah mak. Dia tahu siapa maknya.
“Nisa!”
“Ya mak…”
“Boleh tolong mak
tak?” Mak Esah cuba mengalihkan topik perbualannya. Dia tidak mahu terus diasak
oleh Nisa.
“Apa yang mak mahu Nisa tolong?”
“Boleh tolong mak ambil segelas air masak. Terasa haus
pulak.”
“Baiklah mak…mak duduk dulu. Biar Nisa ke dapur dulu.”
Mak
Esah memerhati langkah demi langkah Nisa yang menuju ke arah ruang dapur yang berada di sisi kanan
tempat duduknya kini. Di bawah sepohon pokok Mempelam yang rendang. Duduk di
atas Para yang di buat oleh arwah suaminya itu. Banyak perkara yang sempat
mereka berdua berbincang di sini. Tempat yang menjadi saksi segala luahan hati.
“Ayah memang tidak adil mak…memang tidak adil”
berulang-ulang kali Saiful mengucapkannuya. Dia mengurut-ngurut dada tuanya.
Dia tidak menyangka sampai begitu sekali api kemarahan Saiful.
“Apa yang tidak adilnya…?” Mak Esah cuba mencari apa yang
sebenarnya terbuku di hati Saiful. Sifat panas baran anaknya terserlah. Sifat inilah
yang membuatkan hati tuanya banyak terguris. Tidak terkira banyaknya dia berdoa
agar segala sifat buruk anaknya ini hilang,
Namun dia tidak akan
berputus asa. Dia tahu tuhan hendak menduga dirinya agar sentiasa mengingati
diriNya.
“Mak selalu menyokong ayah tu..” tuduh Saiful tiba-tiba.
“Sokong apanya lagi Saiful? Mak tak tau apa-apa?” Kecil
hatinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mencari kekuatan diri. Kalau ikutkan
hatinya, sekarang ini juga dia meninggalkan Saiful. Namun dia harus tahu apa
yang Saiful mahu.
“ Ke sengaja mak buat tak tau? Mustahil ayah rahsiakan
dari pengetahuan mak?” tuduh lagi Saiful. Saiful mengerak-gerakkan kepalanya ke
kiri kanan seolah-olah orang yang sakit sendi.
“Betul…mak tak tahu. Cuba kamu cakap apa yang sebenarnya?
Mak Esah mula hilang sabar. Dia tidak mahu terus menerus di tuduh sebegitu
rupa. Selama ini dia tidak pernah merahsiakan sesuatu daripada anaknya itu.
Melainkan janji bersama arwah suaminya itu.
Saiful merenung wajah emaknya itu. Mencari sesuatu
kekuatan dalam dirinya. Apakah patut dia menyatakan semuanya. Apakah mak akan
mendengar dan menerima kata katanya nanti. Tiba-tiba itu yang datang dalam
minda. Namun begitu haknya juga harus diutamakan. Dia tidak mahu
tertanya-tanya. Mengapa dan mengapa itu harus terjadi dalam hidupnya?
Selama ini dia bertungkus lumus membantu ayah memajukan
syarikat perumahan milik keluarganya itu. Dia korbankan segala kehidupan
remajanya kerana hendak membantu ayah. Dia tidak hidup seperti rakan-rakan
sebayanya yang hidup dengan dunia muda.
Inikah balasan yang dia dapat dari segala pergorbanannya.
Betul-betul tidak adil. Tidak adil. Saifil menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah
nekad sekarang. Dia tidak boleh tangguh lagi…hatinya betul-betul mendesak.
“Betul mak tak tau?” Saiful cuba menguji Mak Esah lagi. Dia
takut maknya hanya berpura-pura ingin tau tadi. Di renung tajam ke anak mata
emaknya itu. Mencari secebis kejujuran dari hati emaknya itu.
“Eeehhh budak ni…sekali nak cakap sekali macam ni pulak.
Kenapa ni Saiful.” Mak Esah mula
meradang. Dia tidak mahu dipermainkan. Dipermainkan perasaan oleh anaknya
sendiri. Dia mula berdiri untuk meninggalkan Saiful dan mula melangkah langkah
perlahan-lahan. Hatinya betul-betul terguris dengan tindakan Saiful yang
seolah-olah tidak mempercayainya.
“ Nantilah dulu mak…duduk balik. Sebenarnya Saiful serba
salah hendak beritahu pada mak.” Luah Saiful akhirnya. Dia memandang tepat lagi
ke wajah emaknya itu. Tangannya perlahan-lahan memegang tangan emaknya itu lalu
di genggam erat. Dia betul-betul mengharap agar maknya tidak merajuk dan
melarikan diri darinya disebabkan oleh kesangsiannya sebentar tadi.
Dia sebenarnya takut dengan dirinya sendiri. Dia tidak
mahu ada hati yang terguris. Lebih-lebih hati emaknya ini. Seorang emak yang
setia mendengar segala keluhan hati anak-anaknya. Dia tidak mampu kehilangan
emak. Emak segala-gala baginya.
Tapi akhir-akhir ini dia sedikit ragu-ragu dengan mak.
Mak seolah-olah hendak melarikan diri dari berhadapan dengan dirinya. Dia tidak
tau apa salahnya. Apakah emak berasa marah kepadanya kerana selalu bersifat
kasar bersama ayahnya selama ini. Tapi itu hanyalah di dalam syarikat. Di luar
bidang kerja dia kembali kepada yang asal. Menjadi Saiful yang manja di sisi
kedua ibu bapanya.
“Serba salah apanya Saiful? Ada mak makan orang selama
ini?? Mak Esah mula berseloroh. Dia mula duduk semula di sisi Saiful. Memandang
sekilas ke wajah anaknya yang masih kebingungan.
“Saiful takut mak marah?” ucap Saiful lagi. Di genggam
lebih kemas kedua tangan emaknya itu. Kemudian di gosok-gosok perlahan-lahan.
Tabiat itulah yang selalu dia lakukan setiap kali dia berhadapan apa-apa
masalah peribadinya. Emaknya pasti faham dengan dirinya itu. Dia menarik nafas
dalam-dalam. Dia mencari lebih kekuatan dalam dirinya.
“Marah apanya? Dengar tak lagi macam mana nak marah. Cuba
cakap apa bendanya?” desak Mak Esah. Dia tidak mahu melayan kerenah Saiful dengan
lebih panjang lagi.
“Mak….”
“Cakap aja Saiful…” jawap Mak Esah kekejutan dengan
panggilan itu. Sepantas itulah wajah Saiful kian kabur di penglihatannya. Hatinya
mula resah. Ke mana pula Saiful hendak pergi sepantas itu. Dia belum lagi
memberitahu apa yang terpendam di dalam hatinya itu.
“Hei mak ni…melayan ke mana ni..tiba-tiba aja sebut nama
Abang Saiful. Ini Nisalah berdiri depan mak.” Nisa tesenyum nipis. Dia sedar
maknya jauh mengelamun. Sebab itulah kesihatannya kurang memuaskan sejak-sejak
akhir ini.
Mak Esah memegang tangan Nisa. Dia sedar akan
kesilapannya tadi. Sepatutnya dia tidak menunjukkan keresahan dalam dirinya.
Dia tidak mahu menyusahkan Nisa lagi. Lebih-lebih lagi Nisa kini terpaksa
mengambil alih tugas di syarikat setelah Saiful menghilang begitu saja.
Dia tidak boleh bayangkan macam mana keadaan Nisa
mengambil alih jawatan yang sengaja ditinggalkan oleh Saiful itu. Nisa tiada
apa-apa pengalaman tentang perniagaan. Dia juga menyesal kerana tidak mengikut
permintaan arwah suaminya tiga tahun lalu supaya Nisa bekerja di syarikat
keluarganya itu.
Dia tidak terfikir sejauh ini rupanya arwah suaminya berfikir.
Kini barulah dia sedar kesilapannya itu. Dia jadi kelam-kabut bila memikirkan
tentang Nisa yang terpaksa berhemtam pulas mengetuai syarikat itu.
Namun begitu dia sedikit bersyukur kerana di syarikat itu
ada ramai pekerja yang cemerlang dan boleh diharapkan. Dan dia juga bersyukur
kerana Nisa cepat belajar dan mendapat kerja sama yang sepenuhnya dari pekerja
di syarikat itu.
Di renung sekali ke wajah Nisa yang betul-betul berada di
hadapannya itu. Dia perlahan-lahan memegang kedua-dua tangan Nisa dengan lembut
lalu digenggamnya. Hatinya berasa sayu dengan tiba-tiba.
“Kenapa lagi ni mak?” Nisa cuba mengalihkan perhatian.
Dia mahu emaknya sedar ke alam nyata. Dia tidak mahu emaknya terus
memikirkan apa-apa yang tidak berfaedah. Dia mahu melihat emak ceria seperti mana ketika arwah ayahnya
masih ada.
“Emak…” terhenti begitu saja kata-kata yang terucap
dibibir tuanya itu. Dia kembali sebak. Hatinya terus bergelora. Dia betul-betul
cemas dengan dirinya sendiri. Dia tidak mampu lagi bertahan. Sejujurnya dia
mahu Saiful ada disisinya ketika ini juga.
Dia mahu mencurahkan segala-galanya. Dia tidak
mampu lagi menutup segala janji-janjinya kepada arwah suaminya itu. Dia rela
menghadapi segala kemungkinannya nanti. Biarpun keputusannya nanti akan
mengecewakan dirinya sendiri.
“Sudah-sudahlah
mak…jangan difikirkan perkara yang buruk-buruk. Tiada gunanya.” Nisa menyedari
akan situasi emaknya itu. Dia amat kasihan kepada emaknya itu. Tapi apa yang
mampu dia lakukan. Dia sudah buat segala iktiar. Yang menjadi pokok pangkalnya
adalah Abang Saiful. Dia saja yang
mampun menghilangkan segala apa yang terjadi terhadap emaknya itu.
“Nisa…emak
rindukan abang Saiful kamu…” curah Mak Esah tiba-tiba. Di wajahnya berkerut
–kerut menahan gelora rindunya. Dia betul-betul rindukan anak lelakinya itu. Di
pandang sekilas ke wajah Nisa yang masih berdiri di depannya itu. Dia mengeluh
panjang. Dia kesal dengan dirinya kerana terpaksa meluahkan segala gelodak
dihatinya kepada Nisa.
“Sabarlah
mak…Nisa pasti abang akan balik…percayalah.” Lucut sahaja perkataan itu di
bibir Nisa tiba-tiba kelihatan kereta milik
Saiful meluncur masuk ke halaman depan rumah. Enjin dihentikan. Sepantas itu juga Saiful keluar
dari perut keretanya itu lalu menuju ke
arah Mak Esah dan Nisa.
“Assalamaulaikum!”
perlahan Saiful memberi salam. Dia menundukkan wajahnya ke tanah. Dia tidak
mampu menatap wajah tua emaknya itu. Dia sedar dirinya banyak buat salah
terhadap emaknya itu. Emaknya tidak bersalah sebenarnya. Emaknya hanya menjadi
mangsa keadaan.
Tanpa
menjawap salam....Mak Esah pantas
memeluk sekujur tubuh milik anak lelaki kesayangannya itu. Dia mahu melepaskan
segala rindunya selama ini. Dipeluk erat-erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan.
Dia tidak mahu kehilangan lagi. Dia tidak sanggup berhadapan situasi begini
lagi.
Saiful
membiarkan apa yang dilakukan oleh emaknya itu. Tidak akan dibantah apa yang
emaknya hendak lakukan. Bahkan dia juga memeluk erat emaknya itu.
Nisa
tersenyum melihat kedua-dua insan yang berada disampingnya itu. Dia pasti
selepas ini akan berakhir segala gelodak jiwa keluarganya itu.
“Saiful!
Nisa!” Mak Esah tiba-tiba bersuara tegas. Dilonggarkan pelukan.
“Ya
mak…” serentak Saiful dan Nisa menjawap. Kedua-duanya berpandangan antara satu
sama lain.
“Mak
harap kamu berdua terima dengan hati yang terbuka. Lebih-lebih lagi
kamu…Saiful! Kan kamu mahu tahu kenapa arwah ayah buat keputusan di syarikat
tu.” Di pandang sekilas ke wajah Saiful penuh harapan.
“Kalau
itu yang emak nak beritahu, Saiful terima aja.” Balas saiful perlahan. Dia
tidak mahu bercanggah pendapat dengan emaknya lagi.
“Lama
sudah emak pendam selama ini. Hati mak bergelora kerana ini. Mak tak mampu
mengharungi segala gelora itu. Mak pasrah sebenarnya. Saiful! Sebenarnya
syarikat yang ayah majukan itu bukan milik kita.” Luah Mak Esah tanpa
ragu-ragu.
“Habis…siapa
yang punya? Terkejut Saiful mendengar pendedahan emaknya itu.
“Milik
satu keluarga yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dua puluh tahun
yang lalu. Mereka telah amanahkan ayah kamu memajukan syarikat itu.”
“Siapa
mereka tu mak?” Nisa tiba-tiba mencelah.
Mak
Esah tersenyum. Ini membuatkan Saiful dan Nisa tertanya-tanya.
“Nisa!
Itulah ibubapa kamu yang sebenarnya.”
Terkejut
Nisa mendengarnya. Matanya tiba-tiba terasa gelap-gelita. Saiful yang berada
disebelahnya terdiam kaku.
Terbitan: Majalah Seri Dewi @Keluarga
Mac 2014