Sabtu, 4 Ogos 2012

Mencari Jawapan


RESAH. Itulah yang sedang bermain di dalam dirinya kala ini. Entah sudah berapa lama dia terbaring kaku di atas katil. Matanya malam ini ternyata tidak mahu pejam walaupun sudah beberapa kali dicubanya. Namun semuanya sia-sia sahaja. Kebiasaannya dia tidak dapat tidur di waktu malam jika banyak tidur di siang hari. Tapi siang tadi dia tidak tidur walau sedikitpun. Yang pasti dia sentiasa sibuk dengan kerjanya yang tidak putus-putus datangnya.
            “Abang tak rasa penat ke. Ke hulu ke hilir tak tentu masa,” luah Umira, isterinya di kala dia menemani dirinya yang sedang makan tengahari.
            “Penat apanya Umi, kan abang cari rezeki,” balasnya perlahan.
            “Saya tahu abang cari rezeki. Tapi…”
            “Tapi apa Umi?” potongnya pantas. Ditatapnya wajah ayu isterinya yang dikahwini sejak sepuluh tahun yang lalu. Di wajah itulah dia diberikan semangat yang lebih bermakna dalam mengejar kehidupan yang lebih baik untuk ahli keluarganya.
            “Tapi akhir-akhir ini Umi melihat abang…” terhenti lagi kata-kata yang terbit dari bibir-bibir nipis kemerahan isterinya itu. Dia berasa amat hairan mengapa isterinya berubah begitu rupa.
            “Cakap saja apa yang Umi pendamkan selama ini terhadap abang. Abang sudi mendengar apa yang Umi rasa tidak berpuashati terhadap abang..”
            Isterinya terdiam. Di tenung tajam ke wajah isterinya. Isterinya terus terdiam. Kemudian menundukkan wajahnya menatap ke lantai.
            “Apa semuanya ini Umi. Abang tak fahamlah…” hatinya bertambah cemas dan bercampur geram di atas apa yang dilakukan oleh isterinya kali ini.
            “Abang…ak…hir…ak…hir ini sudah banyak berubah…”  luah isterinya apa yang tersekat di dalam dirinya itu walaupun dengan nada tergagap-gagap. Kemudian terus beredar ke ruang tamu yang sedang riuh dengan suara dua anaknya yang sedang bermain permainan baru dibelinya pagi tadi.
            Malam kian panjang. Tapi matanya tetap tidak mahu pejam. Apa lagi yang patut dilakukannya  lepas ini agar dia boleh terlena. Lebih-lebih lagi penat dibadannya masih menghimpit diri. Sebolehnya dia mahu berihat yang secukup mungkin agar di beri Tuhan kesegaran yang seratus-peratus untuk menjalankan perniagaannya esok.
            Bila di renung akan kata-kata tergantung isterinya tengahari tadi dia mula berasa tidak senang. Hatinya mula merasa cemas. Cemas yang tidak diketahui sebabnya. Apa yang telah dilakukan menyebabkan isterinya berkata begitu terhadapnya.
            Dia mula berfikir apa kesalahannya kali ini. Hendak dikatakan dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang suami dan sebagai seorang ayah kepada kedua anaknya itu, tidak mungkin sama sekali. Apa yang mereka perlukan, dia tunaikan dengan secepat mungkin yang boleh.
            Dia mengeluh panjang. Udara panas terasa keluar dari mulut dan hidungnya. Dibaliknya badan ke  arah isterinya yang sedang lena. Mungkin di kala ini sedang bermimpi indah.
            Di tenung lama ke wajah isterinya itu. Jelas dimatanya, Umira tetap cantik. Dia betul-betul bertuah dapat mengambil Umira sebagai isterinya. Seorang yang penyabar, lemah lembut, sopan-santun dan sempurna sifat kewanitaan yang dimahukan oleh  seorang lelaki.
            Tidak pernah isterinya membuat perangai seperti siang tadi. Entah apa yang telah merasuk dalam fikiran isterinya itu. Dia sedar memang akhir-akhir ini dia tidak ada masa yang panjang untuk bersama-sama isteri dan anak-anaknya. Dia betul-betul sibuk. Dia tidak dapat berfikir lagi apa kesalahan yang telah dilakukan kali ini.
            “Berubah…!!!” perkataan itu tiba-tiba keluar dari bibirnya. Berkerut wajahnya. Matanya terasa masuk ke dalam. Gelap dunia dirasakannya. Perkataan itulah yang terbit dari bibir isterinya.
            Dia bangun dari baringan. Dia terus menuju ke pintu kamar. Keluar menuju ke ruang tamu meninggalkan isterinya tidur keseorangan. Dia duduk seketika di sofa. Di belai rambutnya yang di potong pendek hari semalam dengan jejari tangan kanannya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihembuskan cepat-cepat agar keluar segala keresahan di dalam dirinya. Namun tiada apa-apa perubahan berlaku pada dirinya.
            Apa yang dimaksudkan isterinya itu.
            “Berubah…berubah…berubah…” di ulang perkataan itu berkali-kali. Dia mesti mencari maksud yang tersirat oleh isterinya itu.
            Dia bangun menuju ke  arah sebuah cermin yang berada di penjuru kanan ruang tamu. Ditatap batang tubuhnya yang jelas semakin kurus. Kelihatan urat-urat darah timbul di bahagian kedua-dua tangannya. Matanya semakin layu kemerahan yang seolah-olah menunjukkan lagi kepenatannya. Itu saja.
            Tapi apa yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Ini yang menjadi kehairanannya. Mungkin sebab inilah dia lemas berada di lautan keresahan. Keresahan yang teramat menyeksa dirinya.
            Dan sekali gus menyebabkan dia tidak dapat tidur malam ini. Kali ini dia mesti selesaikan apa yang menerjah akal fikirannya. Dia mesti selesaikan malam ini juga. Dia tidak mahu terseksa lagi. Mungkin isterinya sengaja membuat begitu kepada dirinya agar dapat merenung lebih jauh apa yang diperkatakannya itu.
Satu keluhan panjang dia lakukan. Mencari kekuatan diri. Di tatap seketika ke jarum jam di dinding. Jam menunjukan hampir pukul empat pagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak percaya dengan apa yang berlaku pada dirinya kali ini.
Tidak pernah berlaku dalam hidupnya begini. Biasanya di waktu ini dia lena diulit mimpi panjang dan indah. Dia berdiam diri seketika.  Dipejamkan matanya rapat-rapat. Tiba-tiba dia terasa seolah-olah diberi tenaga dalaman untuk mencari jawapan yang terbaik dengan apa yang terjadi pada dirinya kali ini.
“ Mungkin …” terhenti begitu sahaja suara hatinya. Dibelai lagi rambutnya perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian jejari tangan kanannya diraut ke wajahnya yang jelas menampakkan kepenatan. Badannya pula mula terasa kepanasan sedikit demi sedikit. Matanya pula terasa kepedihan yang sesekali mengeluarkan air mata yang tidak dipinta hadirnya. Dia menarik nafas panjang lagi.
“Abang! Untuk Umi dan anak-anak kita semuanya cukup,” itulah kata-kata terakhir dari isterinya sebelum masuk ke kamar tidur awal malam tadi. Dia pula ketika itu tidak dapat membalas kata-kata isterinya itu. Mulutnya seolah dikunci rapi.
Isterinya terus bermain teka-teki. Dia terpana bila isterinya berkata-kata. Kata-kata yang keluar dibibir isterinya menunjukkan kejujurannya yang telus. Tidak pernah isterinya melawan atau meninggi suara dengannya.
Itulah senjata yang paling hebat milik isterinya itu. Dia tewas bila isterinya bersuara. Bersuara lemah lembut tapi penuh tertib. Teratur tutur katanya. Memukau hati mendengarnya.
“Apakah semua ini…” bertambah kencang degup jantungnya. Dia merasakan dia sudah semakin dekat dengan pencarian yang tiba-tiba menghantui dirinya itu. Pencarian yang sengaja diciptanya. Pencarian yang membawa keresahan diri di sepanjang malam yang kian lama meninggalkannya.
“Abah! Kata Cikgu Sofia,  kita orang Islam wajib solat lima waktu. Kalau kita tidak melakukannya, kita dapat dosa dan dimasukkan ke dalam api neraka. Kita di seksa oleh Allah, tuhan kita. Abah tak takut ke?”entah mengapa dia terlupa kata-kata anak perempuannya yang berumur enam tahun petang tadi.
Dia terus duduk bertafakur. Menadah ke dua tangannya. Di pejam mata rapat-rapat. Mencari sesuatu yang hilang dari dirinya.
“Yaa..Allah, ya tuhanku, ku pohon keampunan darimu. Rupa-rupanya aku telah banyak melakukan sesuatu yang di luar kesedaran. Ini disebabkan terlalu mengejar kebahagiaan dunia. Aku terlupa siapa aku disampingmu. Kau berilah hidayahMu kepadaku agar kembali menjadi insan terbaik disisimu.” sayu dirasai cetusan bicara hatinya. Azan Subuh kedengaran sayu-sayu. Lekas-lekas dia bangun menuju ke bilik air. Dia tidak mahu leka lagi dari kewajipannya. Kewajipan yang menjamin kebahagiaan di dunia kekal nanti.
terbitan : Akhbar Mingguan Warta Perdana/Julai 2012